Assalamualaikum w.b.t. Sahabat-sahabat yang dihormati dan dikasihi sekalian. Moga sentiasa berada di bawah lindungan rahmat dan berkat Allah yang Maha Mengasihi.
Sejak beberapa tahun lalu, saya sering mendapat soalan mengenai tahap kecergasan dan tenaga saya semasa menjalankan program. Ramai kenalan, sahabat, peserta program, guru dan rakan trainer yang bertanya bagaimana caranya saya mengekalkan tenaga untuk menjalankan program. Mereka ingin tahu rahsia mengekalkan kecergasan dan keceriaan meskipun sibuk menjalankan program ke sana ke sini. (Jika anda dapat lihat kesibukan saya menjalankan program dan pernah lihat bagaimana cara saya menjalankan program, tentu anda akan faham mengapa soalan-soalan mengenai perkara ini timbul.)
Sukar bagi saya menjawab soalan ini sebenarnya. Mengapa? Sebab saya sendiri tidak pernah fikirkannya dengan mendalam. Maksud saya, walaupun saya mungkin kelihatan bertenaga, saya tidak tahu mengapa saya rasa begitu dan boleh bertahan begitu. Namun disebabkan kerap mendapat soalan ini, saya telah senaraikan beberapa sebab (yang mungkin sesetengah orang kategorikan sebagai rahsia) bagaimana ia boleh berlaku.
Sudah beberapa kali saya fikirkan bagaimana mahu menulis tips-tips ini tetapi semuanya membuat saya semakin bimbang. Terasa seperti terlalu panjang pula cerita mengenai perkara ini. Bimbang terlalu panjang, membosankan dan kesuntukan masa untuk menulisnya. Jadi apa kata saya kongsikan seringkas mungkin dalam bentuk tips-tips ringkas. Tips ini semua adalah apa yang biasa saya lakukan untuk mengekalkan kesegaran dan kecergasan saya semasa menjalankan program.
Tips 1 – Bidang yang diminati.
Jika bercakap tentang rahsia, ini mungkin rahsia terbesar mengapa saya boleh kekal bertenaga walaupun mungkin letih mengembara ke sana ke mari bagi menjalankan program. Banyak pengalaman di mana saya perlu kendalikan program sepanjang hari (8 jam) kemudian terus memandu selama 4-6 jam ke destinasi seterusnya (seorang diri) dan jalankan program seterusnya. Sangat meletihkan.
Namun disebabkan saya sangat minat, suka, seronok dan cintakan apa yang saya lakukan ini, semua keletihan itu benar-benar tidak terasa. Jika saya tidak suka apa yang saya lakukan ini, sudah pasti saya tidak mampu meneruskan kerjaya ini atau sekurang-kurang saya akan sentiasa mengeluh keletihan. Jika sahabat semua sentiasa rasa letih, bosan atau tertekan disebabkan apa yang dilakukan, mungkin sahabat semua sedang lakukan sesuatu yang tidak diminati. Jadi tidak hairanlah kalau terasa letih atau rasa ingin mengeluh.
Tips 2 – Tidak tunjuk rasa letih.
“En Osman, dari awal pagi tadi sampai petang, nampak maintain je ya, padahal bulan puasa ni.” Kata seorang guru kepada saya semasa menjalankan program pada bulan Ramadhan. Saya hanya tersenyum kerana ketika itu tidak tahu mengapa mereka lihat saya bertenaga begitu.
Setelah difikirkan, sebab utamanya ialah saya tidak menunjukkan rasa letih di hadapan audiens saya. Maksudnya, saya tidak sebut saya letih dan saya tidak tunjukkan pergerakan-pergerakan orang yang sedang letih. Pergerakan orang sedang letih? Bagaimana?
Bayangkan anda sedang rasa letih dan lesu, bagaimana cara anda bergerak? Bayangkan anda bergerak di atas pentas seperti orang yang sudah kehabisan tenaga. Bagaimanakah rupanya?
Saya tidak tunjukkan pergerakan sedemikian. Malah di dalam fikiran saya pun tidak terlintas perkataan atau ayat yang mengatakan saya letih. Kalau saya fikirkan ayat-ayat ‘letih’ atau ‘penat’, sudah pasti serta-merta saya rasa penat dan letih.
Di dalam program ‘Public Speaking’ yang saya kendalikan, saya ada tunjukkan beberapa cara pergerakan dan cara mengawal lontaran suara yang membuatkan kita kelihatan bertenaga. Dengan pergerakan itu, audiens lihat kita penuh dengan tenaga. Satu tips mudah, semasa bercakap, tinggikan nada suara kita ke satu paras atau 2 paras lebih tinggi daripada percakapan biasa kita. Ia meningkatkan semangat kita untuk bercakap dan membuat audiens kurang mengantuk. Namun tips ini memerlukan sedikit latihan dan panduan kerana bimbang kita akan terjerit-jerit pula semasa hendak mengaplikasikannya.
Tips 3 – Cari sumber tenaga.
Saya percaya setiap orang ada sumber tenaga yang berkesan buat diri mereka sendiri. Sebagai contoh, apabila kita sedih dan hilang semangat, ada sesuatu yang kita lakukan untuk memulihkan semula semangat dan rasa sedih tersebut. Malangnya ada antara kita memilih untuk memulihkannya dengan cara yang salah dan lebih memburukkan keadaan. Jadi, pilih apa-apa aktiviti yang boleh meningkatkan semula semangat dan keceriaan dalam diri kita.
Sebagai contoh, apabila saya rasa semangat diri semakin berkurangan, keyakinan terhadap kebolehan diri semakin merudum, prestasi semakin menurun dan terasa bahawa saya tidak setanding dengan trainer-trainer hebat yang lain, saya akan lakukan beberapa perkara seperti:
a) Baca buku-buku pembangunan diri.
b) Baca testimoni-testimoni positif peserta-peserta yang lepas (anda boleh baca testimoni ini semua di http://www.osmanaffan.com/testimoni.htm)
c) Tonton video program-program terbaik pernah saya jalankan (di mana mendapat reaksi dan maklumbalas yang sangat positif daripada pelajar).
Aktiviti ringkas ini sahaja sudah boleh menaikkan semula semangat dan keyakinan diri saya yang jatuh tadi. Jadi saya kekal bertenaga dan ceria.
Semasa menjalankan program pula, saya percaya bahawa saya boleh kekal ceria dan bertenaga kerana saya mampu mendapatkan tenaga tersebut daripada audiens di hadapan saya. Di dalam program, saya fokuskan mata dan minda saya kepada 3 jenis peserta:
a) Peserta yang sentiasa tersenyum.
b) Peserta yang sentiasa ketawa dengan celoteh saya.
c) Peserta yang sentiasa mengangguk tanda faham (bukan menggangguk tidur
)
Audiens sebegini secara tidak saya sedar membuat saya rasa sangat bersemangat untuk menjalankan program dan tidak sedar masa berlalu. Malah, apabila saya bersemangat dan seronok, audiens juga mendapat kesannya. Mereka terasa masa berlalu begitu pantas dan hampir tidak sedar bahawa program sudah berakhir. Namun sahabat semua perlu ingat bahawa untuk mendapatkan 3 jenis peserta tersebut di dalam program yang kita kendalikan, kita perlu pelajari teknik-teknik ‘Bijak Bicara’ atau teknik pengucapan awam yang berkesan. Jika cara penyampaian program kita membosankan dan tidak mempunyai isi kandungan yang baik, sudah tentu sukar mendapatkan audiens di atas.
Tips 4 – Dapatkan sokongan.
Di sekeliling kita, sudah pasti ada seseorang yang menyokong kita. Sokongan mereka memberikan kita tenaga dan kecergasan minda yang sangat hebat. Saya ada ibu bapa yang menyokong saya. Paling hebat, saya ada isteri yang sangat menyokong dan suka apa yang saya lakukan. Isteri saya sangat suka mendengar apa yang saya sampaikan kepada pelajar. Beliau suka apa yang saya tulis dan sangat suka mendengar cerita yang saya karang. Setiap kali saya tulis artikel atau cerita baru, isteri saya mahu jadi orang pertama yang membacanya. Saya pula setiap kali ada pengalaman baru dan menarik di dalam program, akan cepat-cepat saya ceritakan dan kongsikan bersama isteri saya.
Setiap kali isteri saya tunjukkan rasa seronoknya mendengar atau membaca hasil tulisan saya, semangat saya semakin membara. Terasa seolah-olah cukup dengan sokongan isteri saya sahaja, saya akan kekal bertenaga hingga ke akhir hayat (Insyaallah). Jadi, amat bagus kalau isteri seorang trainer baca kenyataan ini bukan?
Sebab itulah saya sentiasa percaya pepatah yang mengatakan “Pada setiap kejayaan seorang lelaki, ada seorang wanita disebaliknya.”
Tips 5 – Kuatkan otot dan jantung.
Mungkin ini bukanlah tips utama mengapa saya kelihatan sentiasa bersemangat dan bertenaga semasa menjalankan program. Ini kerana sejak mula-mula saya jalankan program bersama pelajar pada tahun 2005 hingga akhir tahun 2009, saya tidak hiraukan perkara ini. Berat badan saya sentiasa meningkat dan tubuh saya membelon hingga ke 105kg. Walaupun begitu, saya masih mendapat komen yang mengatakan saya kelihatan bertenaga.
Apa yang tidak bagusnya ialah saya hanya kelihatan bertenaga semasa berada di hadapan audiens. Apabila bersendirian, kerapkali saya terasa letih. Pening kepala adalah perkara biasa buat saya. Jika keluar bersama keluarga untuk berjalan-jalan atau membeli-belah barang-barang dapur, saya akan cepat-cepat mahu balik ke rumah. Aktiviti itu semua terlalu memenatkan.
Namun bermula Januari 2010, sejurus selepas kelahiran anak kami yang ketiga pada pertengahan Januari 2010, saya mula menjaga makan. Saya berpantang memakan beberapa perkara dan banyakkan makan beberapa perkara. Tidak lupa juga, saya banyakkan minum air kosong. Hasilnya dalam masa beberapa minggu, berat badan saya mula menurun. Selain daripada rupa saya kelihatan lebih bertenaga akibat penurunan berat badan ini, saya juga rasa lebih segar dan cergas. Alhamdulillah sudah hampir 9 bulan saya tidak hadapi masalah pening kepala. Kemudian, perlahan-lahan saya mula masukkan aktiviti senaman dalam rutin mingguan saya.
Saya sertai gym yang terdekat dengan rumah saya (terima kasih atas jemputan Tuan Fadzli Yusof. Beliau yang memaklumkan kepada saya mengenai gym ini. Murah dan dekat.
) Ada 2 jenis senaman yang saya amalkan. Pertama senaman yang menguatkan jantung (aerobic) contohnya seperti jogging dan mengayuh basikal. Saya lebih suka aktiviti jogging di atas mesin tredmil. Kedua, senaman yang menguatkan otot (anaerobic) iaitu angkat berat (weight lifting). Hasilnya, tubuh terasa semakin bertenaga, Saya tidak lagi rasa tercungap-cungap apabila berjalan laju atau semasa menaiki tangga. Malah saya sudah mula boleh mengejar anak-anak saya semasa membawa mereka ke taman permainan kanak-kanak (sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini).
Lebih mengembirakan, tekanan darah saya turun ke paras normal/sihat. Degupan jantung saya juga menurun kepada lebih kurang 52 kali seminit (orang normal biasanya 60-80 kali seminit) yang menunjukkan ia lebih kuat kerana tidak perlu mengepam terlalu kerap untuk memastikan darah sampai ke seluruh tubuh. (Menurut apa yang saya baca, degupan jantung seorang atlet lebih rendah bilangannya dalam seminit berbanding orang biasa. Ini disebabkan latihan mereka yang membuatkan jantung mereka lebih kuat dan mampu mengedarkan darah dengan lebih baik.)
Hasilnya dalam program pula, saya rasa semakin bertenaga. Tidak terasa hendak berehat langsung di antara slot program.
Tips terakhir – Tips terpenting.
Jika saya diminta menulis hanya satu tips sahaja mengapa saya kelihatan bertenaga dan kekal ceria, inilah jawapannya. Saya akan katakan ia disebabkan faktor berkaitan spiritual. Ia disebabkan satu perkataan iaitu ‘Syukur’.
Saya bersyukur dengan segala kurniaan Allah kepada saya. Saya bersyukur dengan kekuatan yang Allah kurniakan kepada saya dan saya sangat bersyukur dengan segala kekurangan yang juga Allah kurniakan kepada saya. Saya percaya setiap kekurangan yang ada di dalam diri saya menimbulkan kekuatan-kekuatan lain di dalam diri ini.
Setiap kali saya mendapat jemputan program, tidak kira saya sedang sibuk atau tidak cukup masa rehat, saya terkenang zaman di mana saya hidup susah hingga perlu berkira-kira untuk membeli sebungkus nasi atau notepad yang berharga RM1.30. Zaman itu sedikit pedih untuk dikenang kembali NAMUN… ia menimbulkan rasa syukur yang amat hebat di dalam diri saya. Akibatnya, saya rasa sangat seronok menerima jemputan tersebut. Perkataan penat atau mahu berehat lebih masa langsung tidak terlintas difikiran saya. Saya asyik terbayang betapa seronoknya berdiri di hadapan audiens saya sambil menjalankan program.
Saya juga berpegang pada nasihat dan pesan seorang sahabat saya berkenaan ayat daripada surah Ibrahim, ayat ketujuh yang bermaksud, “Jika kita bersyukur dengan nikmat Allah, nescaya Allah akan tambahkan lagi nikmat tersebut. Namun jika kita kufur dengan nikmat Allah, nescaya azab Allah itu amatlah pedih.”
Jadi, apabila saya terlalu sibuk hingga tidak boleh berehat, saya rasa bersyukur kerana sibuk. Sibuk bermaksud program saya mendapat sambutan dan pengaruh program saya semakin meluas. Rasa syukur ini pula membuat hati saya rasa tenang dan semangat saya semakin meningkat. Semangat yang meningkat ini pula memberikan saya tenaga, kecergasan dan kesegaran yang berpanjangan. Alhamdulillah.
Akhir kata, terima kasih sekali lagi atas sokongan sahabat-sahabat semua terutamanya rakan-rakan trainer yang selalu bertanya kepada saya mengenai perkara ini. Apa yang saya kongsikan adalah apa yang berlaku kepada diri saya. Ia mungkin berbeza atau tidak boleh diaplikasikan secara terus di dalam hidup sahabat semua. Namun saya percaya mungkin ada satu atau dua tips yang saya tuliskan ini boleh memberi kesan yang berbeza di dalam kesegaran, keceriaan dan kecergasan sahabat-sahabat semua. Jika masih ada apa-apa soalan, saya persilakan sahabat-sahabat semua untuk bertanya.
Terima kasih. Salam akhir Ramadhan dan Selamat menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Maaf zahir dan batin.