Mon 8 Nov 2010
Nota Buat Trainer – Kenal Pasti & Serlahkan Kepakaran!
Posted by Osman Affan under Uncategorized
1 Comment

Program Mind Power bersama kakitangan Telekom Brunei
Sebagai seorang trainer, apakah kemahiran yang kita miliki? Adakah kita mempunyai kemahiran untuk bercakap dengan jelas? Adakah kita mempunyai kemahiran untuk menggunakan perisian PowerPoint & Keynote? Atau, kita mempunyai kemahiran untuk
- menggunakan permainan di dalam program.
- menyediakan modul yang penuh dengan isi kandungan yang praktikal dan berkesan.
- menarik minat peserta di sepanjang program.
- mencuit hati peserta program dengan cerita-cerita menarik dan lucu.
- mengekalkan minat peserta kepada apa yang disampaikan walaupun sudah 3 hari mereka mendengar dan melihat wajah kita dihadapan dewan.
- membuat peserta rasa mahu datang lagi program yang sama.
- meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam hati dan jiwa peserta program.
- membuat peserta mahu mencadangkan kawan-kawan dan kenalan lain supaya menghadiri program yang kita kendalikan.
Jika kita miliki kemahiran ini semua, tahniah! Kerjaya sebagai trainer amat sesuai bagi kita. Namun, berita kurang baiknya, ratusan malah ribuan trainer lain mempunyai KEMAHIRAN YANG SAMA! Maksud saya, jika kita ada semua kemahiran di atas, semua trainer lain juga ada dan boleh kuasai kemahiran-kemahiran tersebut.
Jadi, bagaimanakah kita boleh lebih maju dan menyerlah jika semua mempunyai kemahiran yang sama? Bayangkan 10 gerai penjual goreng pisang yang berniaga sebelah menyebelah. Bagaimanakah satu gerai boleh jual dengan lebih laku berbanding dengan gerai lain jika semuanya menjual goreng pisang yang sama, harga yang sama, rasa yang sama dan rupa yang sama? Tentu agak sukar bukan?
Satu berita kurang baik lagi, saya katakan sebentar tadi, bagaimana kita boleh jadi lebih maju dan menyerlah jika kita hanya memiliki kemahiran-kemahiran di atas. Perlu difikirkan betul-betul, apa akan jadi, kalau kemahiran atas pun kita TIDAK MILIKI? Tentu kerjaya dalam bidang training akan jadi amat sukar buat kita.
Ada dua mesej yang hendak saya kongsikan di sini sebenarnya. Pertama, sebagai seorang trainer, kita perlu ada kemahiran-kemahiran asas seorang trainer seperti yang saya sebutkan di atas. Kemahiran-kemahiran tersebut boleh dikuasai dengan cara kita sendiri menghadiri latihan, kursus dan membaca buku-buku yang mengajarkan langkah demi langkah bagi menguasai kemahiran tersebut.
Kedua, sebagai seorang trainer, kemahiran sahaja tidak mencukupi. Kita perlu menjadi pakar dalam sesuatu. Sejak tahun 2005 hingga kini, sering saya ikuti perkembangan beberapa trainer yang saya kagumi. Apa yang saya sedar ialah mereka ini mempunyai bidang kepakaran mereka yang tersendiri. Mereka boleh buat training dalam banyak perkara tetapi mereka mempunyai satu atau dua bidang kepakaran mereka yang tersendiri.
Untuk mengetahui dengan mudah tentang bidang kepakaran ini, cuba fikirkan tentang beberapa topik dalam bidang latihan/training. Siapakah pakar atau tokoh dalam bidang tersebut?
Jika saya tanya tentang topik motivasi, siapakah pakarnya yang sudah terkenal? Topik pembangunan sahsiah diri? Topik pembangunan hati dan jiwa? Topik perniagaan internet? Topik teknik belajar? Topik keusahawanan? Topik komunikasi dan keterampilan diri?

Latihan Dalam Kumpulan Program Mind Power
Apa yang menariknya ialah jika kita menjadi pakar dalam sesuatu bidang, nama kita atau nama perniagaan kita akan jadi lebih mudah dikenali. Jika ada organisasi yang mahu menjalankan latihan dalam topik-topik tersebut, mereka akan teringatkan diri kita. Jadi perniagaan kita sebagai seorang trainer akan jadi lebih mudah berkembang.
Ada timbul satu persoalan. Bagaimana jika ada banyak perkara yang kita boleh buat? Contohnya ada trainer yang mengatakan “saya pandai dalam topik komunikasi, team-building, kebahagiaan rumahtangga, pengucapan awam, seronok bekerja, penampilan diri, teknik berfikir, pengurusan masa, seni jahitan, hiasan dalaman, andam-mengandam, dan juga program-program bersifat kerohanian. Hendak senang cerita, semua program lah saya boleh buat!”
Kerisauannya ialah jika saya boleh buat semua, bukankah rugi kalau saya hanya dikenali sebagai pakar dalam satu atau dua bidang sahaja.
Benar, ia kelihatan seperti kita berada dalam kerugian. Namun, jika kita cuba tonjolkan kehebatan diri kita dalam semua perkara dan perkara-perkara itu pula tidak berkaitan, dua perkara akan berlaku.
1. Orang ramai atau bakal pelanggan tidak dapat lihat di mana sebenarnya kekuatan kita.
2. Orang ramai atau bakal pelanggan timbul rasa ragu dan tidak percaya terhadap apa yang kita sampaikan. Mereka mungkin terfikir, “Takkan semua benda dia tahu kot?”
Akibatnya, sukar untuk trainer ini jadi lebih maju. Jadi, cadangannya untuk trainer lebih maju, terutamanya buat trainer yang baru memasuki bidang training seperti saya ialah kita kenal pasti satu atau maksimum dua bidang kepakaran kita dahulu. Jalankan sebanyak mungkin program dalam bidang tersebut sehingga kita benar-benar pakar. Lebih menarik lagi, untuk memilih bidang tersebut, gunakan beberapa panduan ini:
- Cari bidang yang kita minat, ada kebolehan dan ada bakat untuk menyampaikannya. Bukan semua trainer minat topik komunikasi atau teknik berfikir. Jika kita lebih cenderung kepada topik teknikal atau topik-topik ’soft’skill’ tertentu, pilih topik tersebut.
- Bidang yang kita minat itu pula ada permintaannya. Apa guna kita menjual barang yang orang tidak perlukan dan tidak mahu membelinya.
- Senaraikan topik-topik yang kita minat dan di dalam senarai itu, lihat pula topik mana yang mempunyai permintaan yang tinggi.
Akhir sekali, jika kita sudah memilih mana-mana topik yang mahu kita terokai hingga menjadi pakar, letakkan matlamat jangka masa pendek dan panjang untuk menjadi benar-benar pakar dalam bidang tersebut. Cari jalan dan buat rancangan bagaimana kita boleh jadi pakar dalam bidang tersebut. Bayangkan satu hari nanti, jika seseorang menyebut tentang sesuatu topik dan mencari trainer yang sesuai, tidak ada nama lain yang muncul melainkan nama kita.
Saya ucapkan selamat berjaya buat rakan-rakan trainer semua.







