Wed 29 Feb 2012
Nota Buat Tim SmartStudy™: Jangan terlalu mudah menerima pujian bukan milik kita
Posted by Osman Affan under Nota Buat Trainer
No Comments
Assalamualaikum w.b.t. Sahabat-sahabat yang dihormati dan dikasihi sekalian. Moga sentiasa berada di bawah lindungan rahmat dan berkat Allah yang Maha Mengasihi.

Beberapa minggu lalu, saya dan Tim SmartStudy™ dijemput menjalankan program untuk pelajar PMR & SPM di sebuah sekolah di negeri Pantai Timur. Sekolah ini pernah menjemput kami buat pertama kalinya tahun lalu bagi menjalankan 2 program berasingan bagi pelajar PMR & SPM. Alhamdulillah, kami dijemput sekali lagi tahun ini. Cuma bezanya kali ini, kami dijemput lebih awal (Januari) berbanding tahun lalu (Ogos).
Sebelum program bermula, kaunselor sekolah tersebut berbual dengan saya. terkeluarlah cerita mengapa mereka menjemput kami lebih awal. Rupa-rupanya, keputusan PMR bagi pelajar tahun lepas telah meningkat ke satu tahap yang belum pernah mereka capai selama ini. Itu merupakan satu rekod sekolah yang baru. Jadi kaunselor sekolah ini seperti mengucapkan ucapan terima kasih kepada saya atas program yang dijalankan tahun lepas. Kaunselor ini memberi gambaran seperti program kami telah membantu mereka mencapai keputusan tersebut.
Saya tersenyum. Tim SmartStudy™ di sebelah saya juga tersenyum, namun dia agak terkejut dengan respon yang bakal saya katakan. Saya berkata,
“Wah! Tahniah Cikgu. Saya tumpang bangga mendengar kejayaan pelajar PMR. Tapi, kejayaan itu bukan sebab saya cikgu, saya percaya pelajar tahun lepas dan guru-guru bekerja keras untuk mencapai rekod tersebut. Tambahan lagi, tahun lepas masa saya datang, saya lihat pelajar PMR sekolah ini memang agak tinggi tahap motivasi mereka dan jelas kelihatan kesungguhan mereka untuk berjaya. Jadi, tahniah sekali lagi buat pelajar, guru dan pengurusan sekolah ini.”

Selesai berbual dan selepas tamat program, dalam perjalanan pulang, saya percaya ada antara Tim SmartStudy™ yang mungkin terfikir untuk menggunakan keputusan pelajar PMR sekolah ini sebagai testimoni atau bukti keberkesanan program SmartStudy™ kami. Jadi saya terus berkongsi dengan satu perkara penting ini dengan mereka, ‘Jangan terlalu mudah menerima pujian (atau kredit) yang bukan milik kita.”
Sebagai trainer dalam bidang motivasi dan teknik belajar, pasti amat menggiurkan untuk kita menggunakan kejayaan sekolah atau institusi yang pernah kita jalankan program sebagai satu pujian dan kejayaan buat diri kita sendiri. Namun hakikatnya kita perlu sedar, kita cuma hadir SEKALI atau DUA KALI sahaja ke sekolah tersebut bersama pelajar. Apakah kunjungan kita yang sekejap itu benar-benar menjadi PUNCA UTAMA mengapa mereka berjaya?
Perlu difikirkan juga, bandingkan pula peranan guru dan pihak pengurusan di sekolah. Mereka bersama pelajar hampir setiap hari sepanjang tahun bagi menyiapkan pelajar untuk peperiksaan. Adakah besar kemungkinan peranan kita sebagai trainer yang datang sehari dua MELEBIHI peranan mereka itu?
Jangan lupa peranan ibu bapa dan penjaga pelajar juga. Jika seorang pelajar itu berjaya, ada atau tidak barangkali kemungkinan ibu bapa dan penjaga mereka lakukan usaha bersungguh-sungguh dan memberikan doa yang tidak putus untuk memastikan anak-anak mereka berjaya? TENTU ADA bukan?
Jadi, saya tegaskan sekali lagi kepada Tim SmartStudy™, adalah TIDAK WAJAR untuk kita mengambil kredit atau pujian, menghebah-hebahkan kejayaan ini dan mengaitkan kejayaan yang dikecapi oleh pelajar-pelajar yang pernah menghadiri program kita kepada diri kita. Jika kita MENGAKU & MENDAKWA bahawa kejayaan mereka itu ada kaitan dengan diri kita, bukan sahaja ia tidak begitu tepat, malah ia akan MENYINGGUNG dan mungkin MENYAKITI hati insan-insan yang benar-benar bertanggungjawab atas kejayaan pelajar-pelajar tersebut.

Tim SmartStudy™ ada pula tertanya-tanya, “habis, jika kita tidak bertanggungjawab untuk memajukan pencapaian mereka, apa yang kita lakukan selama ini? Bukankah kita mengajar mereka teknik belajar berkesan agar mereka belajar lebih baik dan mampu meningkatkan prestasi akademik mereka?”
“Soalan yang BAGUS!” jawab saya. Apa yang kita lakukan selama ini adalah berkongsi kepada pelajar tentang teknik belajar yang berkesan. Kita tunjukkan dan kita sampaikan agar mereka faham dan mampu menggunakan teknik-teknik tersebut. Jika difikirkan betul-betul, apa yang kita lakukan sebenarnya hanyalah MEMBERI PANDUAN & TUNJUK AJAR kepada mereka tentang cara yang betul. Kita TIDAK MAMPU MEMAKSA mereka mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari.
Jika mereka memilih untuk mempraktikkan apa yang telah dipelajari, itu adalah satu pujian dan kredit buat mereka, bukan kita. Jadi kita tidak perlu atau lebih baik JANGAN bermegah-megah dengan kejayaan mereka itu.
Ada satu lagi perkara PENTING lagi yang saya minta Tim SmartStudy™ fikirkan. Jika kita mahu juga ambil kredit & pujian atas kejayaan pelajar yang pernah menghadiri program kita, bagaimana pula dengan sekolah atau institusi yang pernah menjemput kita tetapi pelajar-pelajarnya masih gagal mencapai peningkatan akademik yang disasarkan? Adakah kita SANGGUP MENERIMA itu sebagai KEGAGALAN program kita?
Bayangkan, kita hadir ke 100 buah sekolah dan 10 daripadanya berjaya meningkatkan tahap prestasi akademik pelajarnya. Ini bermaksud, 90 daripada sekolah itu gagal mencapai sasaran mereka. Adakah kita mahu MENGAKU bahawa kegagalan 90 buah sekolah itu adalah KEGAGALAN KITA?
Kesimpulannya, untuk lebih mudah, saya kongsikan bersama Tim SmartStudy™ apa yang saya amalkan selama ini. Jika ada sekolah atau institusi yang mencapai kejayaan selepas menghadiri program kita, kita ucapkan SYUKUR. Jika pihak sekolah ucapkan terima kasih dan tahniah kepada kita atas peranan program kita, kita ucapkan TERIMA KASIH. Namun, dalam masa yang sama,
- Jangan kita canang-canang atau heboh-hebohkan bahawa itu adalah kejayaan kita.
- Jangan lupa ucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya. Maklumkan kepada mereka bahawa kejayaan itu milik mereka dan mereka berhak berjaya atas usaha dan kerja keras mereka.
- Jangan lupa ucapkan setinggi ucapan tahniah kepada orang yang bertanggungjawab secara langsung kepada kejayaan tersebut iaitu guru-guru, pihak pengurusan sekolah dan paling penting, ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar tersebut.

P/S: Tim SmartStudy™ bertanya, bagaimana jika ada pelajar yang menghubungi kita secara terus dan memberitahu kita bahawa mereka benar-benar berubah disebabkan program yang kita jalankan? (Ishh…mahu juga…Hehe.) Saya jawab, itu tidak mengapa. Kita boleh terima pujian itu sebagai testimoni program tetapi masih tetap juga jangan terlalu ghairah membuat pengumuman tentang perkara ini. Besar kemungkinan, banyak pihak (guru, sekolah & ibu bapa) sudah lakukan begitu banyak perkara buat mereka tetapi mereka tidak sedar. Mereka sangka mereka berubah hanya kerana menghadiri program kita padahal program itu adalah mungkin hanya sebahagian daripada faktor kejayaan tersebut.
















