Assalamualaikum w.b.t. Sahabat-sahabat yang dihormati dan dikasihi sekalian. Moga sentiasa berada di bawah lindungan rahmat dan berkat Allah yang Maha Mengasihi.

barber

Beberapa hari lalu, buat pertama kalinya dalam masa 5 tahun, saya pergi ke kedai gunting rambut yang lain daripada yang biasa saya pergi. Ini disebabkan saya berada di luar kawasan Kuala Lumpur dan rambut saya pula sudah mula kelihatan seperti orang yang baru bangun tidur. Jadi saya singgah di sebuah kedai gunting di satu bandar di Pantai Timur.

Apabila saya masuk ke kedai tersebut, saya lihat ada lebih kurang 4 tukang gunting di dalamnya. 3 sedang sibuk menggunting jadi yang seorang lagi menyambut saya. Tukang gunting yang menyambut saya ini kelihatan agak berumur, mungkin sekitar awal 50an. Dia antara tukang gunting senior di sini dan menurut apa yang tahu dan dengar, sudah lebih 20 tahun dia menggunting rambut di sini. Jadi saya rasa rambut saya sudah pasti berada di dalam ’safe hands’ bak kata orang putih.

Apabila tukang gunting ini mula menggunting rambut saya, saya mula rasa berdebar. Ada sesuatu yang tidak kena rasanya. Mengapa saya rasa seperti dia tidak begitu cekap menggunting? Debaran saya bertambah-tambah apabila saya dengar bunyi yang keluar daripada guntingnya. Ia berbunyi seperti besi berkarat dan tidak dilicinkan menggunakan minyak pelincir. Bayangkan bunyi buaian berkarat. :-)

Saya juga rasa pelik melihat cara rambut saya digunting. Sesekali saya lihat cara tukang gunting ini menggunting seolah-olah sedang memotong hujung-hujung daun pokok bonsai. Dia gunting di sini sedikit, di sana sedikit, ke atas sekejap dan ke bawah sekejap. Saya tidak nampak apa yang sedang cuba dilakukan oleh tukang gunting ini. Dipendekkan cerita, dia mengambil masa hampir 30 minit menggunting rambut saya tetapi saya tidak banyak perubahan baik pada rambut saya. Malah, hanya bahagian tepi sahaja yang asyik digodeknya dan bahagian atas kepala langsung tidak disentuhnya.

Saya hanya diam. Berdebar dan berserah. Saya lihat sahaja gelagatnya. Kemudian dia mengeluarkan pisau cukur. Perlahan-lahan dia menukar mata pisau cukur yang baru. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya itu satu perkara yang betul. Sayangnya, apabila dia mula mencukur bahagian hujung-hujung rambut, saya terasa seperti dia sedang menggunakan pisau cukur untuk MENIPISKAN kulit saya. Pedih. Entah kenapa, saya masih diam. Saya percaya cara sudut pisau itu dihalakan ke kulit saya itu tidak betul hingga menyebabkan saya terasa seperti rambut saya ditarik-tarik.

Selesai sahaja rambut saya digunting, saya membuat bayaran dan meninggalkan kedai gunting tersebut. Saya tidak kenal wajah saya ketika melihatnya di cermin. Sambil berjalan meninggalkan kedai tersebut, tengkuk dan bahagian tepi muka saya terasa sangat pedih. Terdapat kesan luka akibat pisau cukur tadi. Timbul bermacam-macam perkara yang bermain-main di fikiran saya.

Mungkin saya ini trainer sejati. Sepanjang saya lihat kejadian ini, saya asyik terfikir kaitannya dengan seorang trainer. Soalan pertama terlintas di fikiran saya mengenai tukang gunting senior ini ialah, adakah tukang gunting sentiasa cuba meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunting rambut? Apakah yang tukang gunting lakukan setiap hari, minggu, bulan dan tahun dalam meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang yang mereka pilih untuk mencari rezeki ini?

Amat menakutkan apabila memikirkan tentang kemungkinan seorang tukang gunting yang sudah menggunting rambut selama lebih 20 tahun tetapi masih mempunyai tahap kemahiran menggunting seperti tukang gunting baru belajar 20 tahun yang lalu.

Ini membuat saya benar-benar terfikir tentang kerjaya saya sendiri sebagai seorang trainer. Apakah yang saya lakukan selama ini untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran saya dalam bidang training? Adakah cara saya mengendalikan training dan menyampaikan perkongsian ilmu HANYA SAMA seperti saya mula-mula jadi seorang trainer lebih kurang 7 tahun lalu?

Saya mula imbas kenangan sewaktu saya bermula. Saya imbas kembali cara saya bercakap, cara saya menggunakan media dan powerpoint dan cara saya menyusun idea-idea untuk disampaikan. Saya bimbang, jika tidak ada apa-apa perubahan atau kemajuan, samalah saya seperti tukang gunting tadi. Jika saya rasa tidak puas hati tentang cara rambut saya digunting dan tidak puas hati dengan tahap kemahiran tukang gunting tersebut, pelanggan saya (dalam bidang training) juga boleh rasakan perkara yang sama.

Pengalaman gunting rambut ini besar hikmahnya buat saya. Hari ini, saya rasa semakin bersemangat untuk meningkatkan lagi tahap kepakaran dan kemahiran saya dalam bidang training. Saya mula bayangkan bagaimanakah rupanya dan caranya jika tahap kepakaran dan kemahiran saya bertambah 5 KALI GANDA daripada sekarang? Apakah kesannya kepada perniagaan yang saya ceburi ini?

Bagaimana pula dengan sahabat-sahabat trainer semua? Adakah terdapat sesuatu yang boleh dilakukan hari ini bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran sahabat-sahabat semua dalam bidang masing-masing???

p/s Saya sudah ke kedai gunting favorite saya di Kuala Lumpur dan dapatkan khidmat tukang gunting favorite saya (sudah lebih 8 tahun menggunakan khidmat beliau). Beliau pada mulanya terkejut melihat rambut saya. Ketika beliau mula membaiki keadaan rambut saya, dia asyik menggeleng kepala dan ketawa kecil semasa memegang bahagian belakang dan tepi rambut saya. Hehe.