Thu 11 Nov 2010
Nota Buat Trainer – Belajar Melalui Pendedahan
Posted by Osman Affan under Nota Buat Trainer
No Comments

Alhamdulillah, pada 31 Oktober yang lalu, saya berjaya mengendalikan Bengkel Bijak Bicara Osman Affan di Pusat Motivasi SmartStudy, Taman Keramat Permai Kuala Lumpur. Bengkel tersebut dihadiri oleh individu pelbagai latar belakang. Sebahagian besar daripada mereka pula adalah terdiri daripada trainer yang sudah berpengalaman.
Di dalam program tersebut, saya kongsikan beberapa teknik penting dalam menyampaikan sesuatu di hadapan khalayak ramai. Teknik-teknik tersebut akan memastikan bahawa penyampaian seorang trainer menjadi JELAS, TERATUR dan paling penting sekali kelihatan sangat PROFESSIONAL.
Pada 9 November lalu pula, saya adakan satu sesi program susulan secara tidak formal. Sesi ini dihadiri oleh Tuan Idzhar, Tuan Huzaimi, Tuan Fadzlaidha dan Cikpuan Azzah. Sesi ini lebih kepada sesi untuk saya memberikan pendapat peribadi dan professional saya terhadap cara sahabat-sahabat saya ini menyampaikan program.
Komen saya pula adalah berdasarkan pengalaman saya menjalankan program selama ini dan pengalaman saya menyaksikan persembahan beberapa trainer yang hebat di Malaysia.
Di akhir sesi program susulan ini, entah bagaimana, kami semua seolah-olah bersetuju bahawa, cara terbaik untuk seorang trainer memajukan diri dalam menyampaikan sesuatu dan menjalankan program ‘training’ adalah dengan melihat dan menghadiri sebanyak mungkin program-program yang dijalankan oleh trainer-trainer berpengalaman. Maksudnya, jika seorang trainer mahu lebih cepat maju, menyerlah dan berjaya dalam bidang training, dia perlu hadiri dan perhati bagaimana cara trainer berpengalaman lain menjalankan latihan dan menyampaikan sesuatu di hadapan khalayak ramai.

Program SmartStudy Bersama Pelajar MRSM KT
Mengapa kami membuat kesimpulan begini? Satu sebab utamanya ialah kebanyakan trainer yang hebat selalunya tidak dapat menjelaskan kepada kita mengapa mereka hebat semasa membuat persembahan. Kehebatan mereka itu tidak boleh diterangkan dengan jelas seperti sebuah buku manual. Kemahiran mereka itu sukar dijelaskan dalam bentuk satu modul.
Sebagai contoh, seorang trainer yang pandai menarik perhatian peserta contohnya. Apabila kita soal mereka apakah teknik dan rahsia yang digunakan, mereka boleh jawab tetapi masih tidak cukup untuk kita praktikkan. Kita masih rasa tidak jelas dengan penerangan mereka. Ini kerana kemahiran, teknik dan kehebatan persembahan mereka itu SUDAH SEBATI dengan diri mereka. Mereka boleh lakukannya tanpa berfikir lagi. Jadi adalah amat sukar untuk mereka terangkan kepada kita dalam bentuk satu modul.
Ambil contoh seorang trainer atau penceramah yang pandai menarik perhatian dengan cerita atau komen yang lucu dan kelakar contohnya. Jika kita tanya mereka bagaimana mereka pandai membuat komen yang lucu dan kelakar, mereka akan hadapi kesukaran untuk menerangkannya dengan jelas. Kadangkala mereka sendiri tidak sedar yang mereka kelakar kerana apa yang kelakar di dalam penyampaiannya seolah-olah datang secara spontan dan langsung tidak dirancang.
Jadi, sebagai seorang trainer, bagaimanakah cara untuk belajar semua teknik ini daripada trainer-trainer hebat dan berpengalaman ini?
Satu cara yang saya cadangkan, hadiri program, seminar atau bengkel yang dikendalikan oleh trainer hebat dan berpengalaman SEBANYAK MUNGKIN! Apabila saya kata sebanyak mungkin, ia juga bermaksud kadangkala kita perlu hadiri program yang sama beberapa kali.
Satu contoh menurut pengalaman saya sendiri, ketika saya mula-mula masuk ke dalam bidang training pada tahun 2005, saya agak bertuah kerana ketika itu saya sedang menyambung pelajaran peringkat Sarjana di UIA Gombak. Di situ saya berkenalan rapat dengan pensyarah saya Dr. Nor Azian yang merupakan Director bagi Students Learning Enhancement Unit (SLEU).
Dipendekkan cerita, selain daripada saya berpeluang mengendalikan program di sana, saya juga berpeluang menghadiri program-program yang dikendalikan oleh puluhan trainer berpengalaman di situ. Terus terang, saya tidak ada duit ketika itu. Saya sedang belajar, baru pula gagal dalam beberapa perniagaan dan baru mengorak langkah dalam bidang tuisyen. Ada program yang saya hadiri sebagai peserta tetapi kebanyakan program saya hadiri sebagai pemerhati.
Saya duduk di belakang dan perhatikan dengan teliti teknik-teknik yang digunakan oleh penceramah dan trainer. Ada yang hebat, ada yang bagus, ada yang sederhana, ada yang lemah dan minta maaf saya katakan, ada yang tidak patut jadi trainer.

Tuan Rizal Hassan
Ada beberapa trainer yang saya kagumi seperti sifu saya Tuan Rizal Hassan contohnya, saya akan ikuti program beliau berkali-kali hingga satu ketika saya sudah terhafal skrip beliau. Saya lihat (dari segi penyampaian) apa yang saya boleh tiru dan apa yang saya perlu kembangkan mengikut gaya saya sendiri. Akhirnya saya dapati gaya penyampaian saya semakin maju dan saya semakin mampu menarik perhatian peserta yang ada di hadapan saya.
Kesimpulannya di sini ialah sebagai seorang trainer, kita perlu mendapat pendedahan sebanyak mungkin mengenai cara trainer hebat beraksi di hadapan peserta. Kita perlu PERHATI & FIKIRkan sendiri MENGAPA sesuatu persembahan itu hebat dan BAGAIMANA kita boleh jadi hebat seperti itu juga.
Disebabkan dulu saya banyak belajar melalui cara pemerhatian ini dan tidak mampu menghadiri program yang berbayar, saya rasa berbesar hati untuk menjemput trainer atau bakal-bakal trainer hadir ke program yang saya jalankan. Tujuannya ialah supaya trainer-trainer yang hadir sebagai pemerhati turut dapat belajar sesuatu daripada kekuatan (jika ada) dan kelemahan program saya. Hadir pula bukan untuk meniru isi kandungan tetapi meniru konsep penyampaian program yang boleh menarik perhatian peserta. Biar kita sama-sama berjaya. Biar kita sama-sama maju dalam bidang training.
Sebagai Bendahari Pertubuhan Perunding Latihan & Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN) pula, saya rasa amat penting bagi kita, trainer muslim, semakin maju setanding dengan trainer-trainer dari bangsa dan agama yang lain. Bukan sahaja kita akan maju dalam bidang kerjaya, malah kita akan berpeluang untuk menyebarkan syiar Islam dengan lebih meluas melalui program-program yang kita jalankan.
Saya ucapkan selamat belajar dan selamat memajukan diri kita dalam bidang training.








No Responses to “ Nota Buat Trainer – Belajar Melalui Pendedahan ”